KPBPSM Menyambut Baik Pengumuman Kerajaan Termasuk Untuk Menambah Baik Gaji, Elaun dan Kebajikan Anggota Bomba.

Melaka: Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia (KPBPSM) menyambut baik pengumuman kerajaan termasuk untuk menambah baik gaji, elaun dan kebajikan anggota bomba.

Presidennya, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pengumuman menerusi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu amat bersesuaian ketika ini kerana khidmat kebombaan dan penyelamatan yang meningkat secara meluas.

“Perkhidmatan ini juga bukan sahaja diberikan kepada masyarakat di negara ini, bahkan turut memberi khidmat dalam bencana di luar negara.

“Pengumuman itu adalah satu pengiktirafan kepada anggota bomba yang memberikan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan yang ‘multi task’ serta berisiko dan berharap ia dapat disegerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sempena Sambutan Hari Bomba Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Banda Hilir, di sini, minggu lalu, Menteri KPKT Nga Kor Ming mengumumkan kerajaan akan meneliti secara komprihensif untuk menambah baik gaji, elaun dan kebajikan anggota bomba serta mempertimbangkan untuk menambah jumlah anggota JBPM.

Ia berikutan nisbah terkini keanggotaan bomba iaitu satu anggota bagi 2,238 rakyat negara ini sama sekali tidak seimbang.

Sehubungan itu, kerajaan akan meneliti secara komprehensif bagi cadangan penyusunan semula organisasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) secara berfasa termasuk naik taraf perjawatan dan pengisian perjawatan sedia ada yang masih kosong serta mempertimbangkan untuk penambahan jumlah keanggotaan.
Semasa ini juga pihak kesatuan sentiasa dilibatkan dalam libat urus bersama pengurusan tertinggi jabatan dalam menyelesaikan isu kebajikan pegawai. Dengan adanya penambahbaikan kebajikan pegawai, ia mampu memberi motivasi sepanjang perkhidmatan dan memastikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.

Sempena Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2023 yang berlangsung di Melaka.